BUKIT KAYU HITAM: Cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini secara haram gagal apabila mereka ditahan polis berhampiran kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, malam tadi

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, turut ditahan seorang lelaki yang berperanan sebagai tekong darat yang mengatur dan membawa masuk lapan PATI lain.

Menurut beliau, hasil risikan Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya menahan PATI terbabit kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Katanya, hasil siasatan mendapati mereka dipercayai berada di Thailand selama dua hari sebelum masuk ke negara ini.

Wan Hassan memaklumkan, tekong, seorang lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun itu, dipercayai pernah bekerja sebagai penoreh getah di negara ini selama setahun sebelum pulang ke negara asalnya ketika COVID-19 melanda dua tahun lalu.

Lapan PATI terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita warganegara India berusia antara 20 hingga 36 tahun.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Jelas Wan Hassan, beliau telah mengarahkan anggotanya supaya mempertingkatkan kawalan di sempadan kerana berkemungkinan akan berlaku percubaan kumpulan PATI untuk masuk ke negara ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.